Rabu, November 11, 2009
Kami bergurau senda dan kutuk-mengutuk lagi. Amir, Djalut dan saya.

Djalut mengeluh. Kulit di bahagian muka, leher dan lengannya semakin menggelap, keluhnya. Maklumlah dia pengurus projek, kerap bekerja di lapangan, berjemur. Dia cemburukan saya yang asyik memerap di pejabat, berbumbung, berdinding dan berlantaikan sejuk hawa dingin dan harum bauan pewangi pejabat.

Untuk menyedapkan hati Djalut, saya katakan kepada dia, kepada Amir juga. Kalau nak tengok warna kulit asal sebenar kita, tengoklah di bahagian peha, kata saya. Sebab setahu saya, secara logiknyalah, selalu-selalunya warna bahagian peha itulah yang original sebab jarang digigit sinaran UV, radikal bebas dan sebagainya.

Kemudian masing-masing [termasuklah saya juga] menyelak-nyelak kain pelikat kami, dan membelek-belek peha-peha kami. Hahaha!

Sah! Kulit Djalut yang menggelap itu bukan disebabkan kerap berjemur di lapangan, tapi warna kulit Djalut memang macam itu. Itu belum lagi cerita pasal parut-parut yang ada. Hehehe!


[Djalut! Bila kau nak turun sini lagi? Amir dah rindukan kau....]


TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/11/2009 04:27:00 PM. | 9 Ulasan
Jumaat, Oktober 23, 2009
Dua pertiga malam. Dato’ Jamlus bangun. Kemudian, senyap-senyap beliau menuju ke tingkat bawah, ke kamar di sebelah hujung, merayap ke katil Sunarti, orang gajinya yang baru mencecah 21 tahun, yang bertubuh montok dan berpayu dara subur itu, dan meratahnya sepuas-puas hatinya. Sunarti diam-diam, malu-malu tapi mahu, seperti selalu-selalunya.

"Dan jika kamu berjunub maka bersucilah." Dato’ Jamlus mengulang ucap petikan dari surah al-Maidah 5 : 6 itu sambil tersengih-sengih.

Sesudah menyempurnakan hadas besar, Dato' Jamlus mengenakan baju Cekak Musang putih bersih, kain pelikat Gajah Duduk warna biru kotak-kotak cokelat kehitaman dan kopiah putih. Beliau menuju ke masjid berdekatan.

Di lokasi satu lagi, Datin Zaniah, isteri Dato’ Jamlus sedang tercungap-cungap, kelemasan, dalam pelukan seorang gigolo muda, di atas katil, di sebuah suite mewah, di sebuah hotel lima bintang, tempat beliau membentangkan ceramah motivasi bertajuk “Kerukunan Rumahtangga” itu.

Dan syaitan pun bertepuk-tepuk tangan.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 10/23/2009 08:27:00 AM. | 28 Ulasan
Jumaat, Oktober 16, 2009
“Mula-mula tu abang jalan-jalan. Masa tu abang ramai-ramai dengan kawan-kawan abang. Kat mana entah abang pun tak tau. Gelap jer tempat tu. Nampak macam kat kebun atok, tapi macam kat dalam utan.... Entah! Abang pun tak tau... Tapi kat situ ada banyak pokok-pokok dengan semak la...

“Masa jalan-jalan tu abang bawak lastik.

“Masa tengah jalan-jalan tu abang rasa nak terkencing. Tak tahan, nak terkencing sangat-sangat. Abang pun cepat-cepat masuk dalam semak kat tepi tu... Abang terus kencing kat situ....”

Bersungguh-sungguh budak lelaki riang berumur dalam lingkungan 6 tahun, yang membahasakan dirinya sebagai abang itu bercerita tentang mimpinya itu. Nak cover dia kencing malam-lah tu..

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 10/16/2009 02:27:00 PM. | 28 Ulasan
Isnin, September 14, 2009
Penghujung dua pertiga malam. Sewaktu adik Kakang mengetuk pintu kamar Kakang itu, Kakang memang sudah terjaga [atau memang sudah berjaga sebab dia memang belum langsung melelapkan mata]. Wah! Adik Kakang menghidangkan nasi goreng untuk bersahur. Kurang pasti pula nasi goreng apa, tetapi di celah-celah butiran nasi itu ada bebiji jagung, kacang pis dan sosej yang diracik halus-halus. Rajin sungguh adik Kakang memasak pagi-pagi sebuta itu [sebenarnya adik Kakang cuma menghangatkan saja nasi goreng malam tadi punya di dalam ketuhar mikro]. [Selalu-selalunya Kakang bersahur dengan kurma, Quaker cokelat dengan roti gandum saja].

Sesudah bersahur, Kakang membaca surah Yassin dan menyempurnakan solat-solat sunat seadanya. Belajar-belajar mencari pahala di sepuluh malam Ramadan yang terakhirlah katakan. Kemudian, sambil-sambil menunggu masuknya waktu subuh, Kakang berbaring-baring sekejap di birai katil, sambil merenung petak-petak di dada lelangit, sambil mengarang angan-angan.

Kemudian, entah pukul berapa entah, nada dering di telefon bimbit Kakang yang terkepit di hujung bantal berkontur itu berlagu, lembut tetapi itupun sudah cukup untuk mencubit gegendang telinga Kakang dan mengejutkannya dari alam luar sedar. Kakang terkebil-kebil, bukan disebabkan pesanan ringkas dari konsultan itu tapi terkebil-kebil bila dia melihat sudah ada bilah-bilah semacam cahaya menyelit-nyelit di celah-celah langsir kamar tidurnya.

“Laa.. he he, solat sunat Kakang buat, wajib pulak terlepas.. hehe.. lawak la Kakang ni..” Semacam ada suara halus entah muncul dari mana entah berbisik sewaktu Kakang baru berkira-kira untuk ‘menggajahkan’ solat subuhnya itu.


SALAM IDUL FITRI. MAAF ZAHIR & BATIN.


TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/14/2009 02:27:00 PM. | 33 Ulasan